Lan Bersama The Type Writer

Lan Bersame dengan ahli kumpulannya The Type Writer




TERTUBUHNYA band baru digelar Azlan & The Type Writer (ATTW) maka tercetusnya visi dan misi baru dalam hidup vokalisnya, Lan yang sebelum ini dikenali menerusi band Meet Uncle Hussain (MUH).

Seperti band-band lain, ATTW juga mengimpikan sesuatu yang lebih baik berlaku dalam bandnya nanti.

Seiring dengan pemilihan nama ATTW, Lan atau nama sebenarnya Norazlan Roslee memberitahu dia mengaitkan nama mesin taip dengan band itu.

Menurutnya, nama ATTW mempunyai maksud yang tegas kerana setiap perkara dan risiko yang berlaku dalam band itu akan ditanggung olehnya sendiri.

Sementara mesin taip pula memberi simbolik kepada muzik yang turut bertapak seiring dengan era tahun 70-an.

“Kalau boleh kami juga nak main muzik satu dunia dengan membuat lagu dalam versi bahasa Inggeris.

“Sebab apa Michael Chemical Romance boleh bawa muzik mereka ke sini (Malaysia), kerana bahasa Inggeris.

“Oleh itu, kami tidak malu untuk bertanya dan belajar antara satu sama lain dengan band-band yang ada sekarang seperti macam mana nak dapat ‘show’ dan apa prosedur untuk ke luar negara,” kata Lan yang mengenali rapat dengan band Hujan dan Pesawat.

Selain itu, Lan sudah mengatur strategi tersendiri dalam ATTW dengan membawakan genre rock alternatif serta mengekalkan perjalanan band yang bergerak secara indie.

“Kami akan menekankan dari segi susunan muzik dan lirik yang berbeza iaitu lirik lagu-lagu kami tidak terlalu berterus-terang tetapi lebih mendalam.

“Pendengar perlu menghayati bait-bait lirik itu baru faham. Kami menjadikan kumpulan BPR sebagai idola kerana kami akan menjadikan mereka sebagai contoh dan lenggok bahasa kami akan menjadi lebih kurang sama dengan mereka,” ujar Lan.

Jelas Lan, dia tidak mengharapkan lebih tetapi hanya mahukan semua peminat boleh menerima muzik ATTW termasuk band lamanya, MUH.


source : mstar

0 comments: